Suami isteri didakwa cabul, dera 4 kanak-kanak pusat jagaan

0
2

SUAMI isteri didakwa di Mahkamah Seksyen Kota Bharu.hari ini atas tuduhan mencabul dan mendera empat kanak-kanak di sebuah pusat jagaan sejak April tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hamdan Yasin, 38, yang juga buruh didakwa dengan empat pertuduhan mencabul dan satu pertuduhan mendera.

Isterinya, Nor Adila Zakaria, 35, yang juga penjaga pusat jagaan berkenaan didakwa dengan satu pertuduhan mendera.

Menurut laporan Kosmo, pertuduhan pertama hingga keempat, Mohd Hamdan didakwa melakukan kesalahan dengan mencabul tiga kanak-kanak perempuan berusia sembilan,12 dan 13 tahun pada April, Julai dan September tahun lalu di pusat jagaan tempat isterinya bekerja.

Tertuduh didakwa atas keempat-empat pertuduhan itu mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Mohd Hamdan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Baharuddin.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh bersama isterinya mengaku tidak bersalah menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal pada bahagian pipi dan dada.

Kesalahan itu dilakukan mereka di pusat jagaan itu kira-kira jam 6 petang pada 17 Mac lalu dan mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin kepada Nor Adila, manakala tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada suaminya.

Nor Adila membayar ikat jamin yang ditetapkan dan sebutan semula kes ditetapkan 10 Mei depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here