MENGALAMI tekanan akibat putus cinta, seorang pemuda bertindak meluru ke ruang majlis akad nikah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur, sebelum berzikir dan mengaji dengan kuat pagi tadi.
Situasi itu dikongsikan JAWI dalam ciapan menerusi Twitter @myJAWIKL yang menunjukkan dua pengawal keselamatan sedang memujuk lelaki berkenaan.
“Allahu. Ini kisah benar, bukan rekaan ataupun imaginasi novel cinta. Seorang pemuda tidak semena-mena, tidak berkasut, memasuki ruang majlis akad nikah di JAWI pagi ini, terus duduk di pelamin, berzikir dan mengaji dengan kuat.
“Syukur, pihak keselamatan dapat tangani dengan hikmah. Difahamkan pemuda ini mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta,” menurut ciapan itu.
Pihak JAWI turut mendoakan agar pemuda terbabit tabah dalam menghadapi ujian hidup.
“Kami doakan mudah-mudahan Allah berikan kesembuhan, jalan keluar, dan kemudahan kepada pemuda tersebut menghadapi ujian berat di dalam hidupnya,” menurut Twitter berkenaan.
Setakat jam 3.30 petang tadi perkongsian itu mendapat ulang ciap lebih 2,600 pengguna dan pelbagai komen yang rata-rata bersimpati dengan nasib dilalui lelaki terbabit. – Malaysiapost

