NAIB Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur demi menyelamatkan parti tersebut.
Beliau yang juga cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar, berkata adalah sangat penting untuk parti itu memberi jawapan yang tidak melambangkan Umno masih belum belajar daripada kekalahan Pilihan Raya Umum-14 (PRU14).
“Perdana Menteri merupakan individu yang akan mengetuai kerajaan dan segala dasar dan hala tuju negara akan dicorakkan oleh ketua kerajaan ini.
“Ia akan ada impak kepada ekonomi, pendidikan dan segala hal ehwal negara dan rakyat untuk sekurang-kurangnya lima tahun.
“Oleh itu, rakyat akan memilih berdasarkan siapa yang Umno tawarkan kepada mereka. Kalau baik tawarannya maka In shaa Allah baiklah keputusannya dan begitu juga sebaliknya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran tersebut beliau juga memuat naik tangkap layar beberapa pemimpin Umno yang meminta agar Pemilihan Umno diadakan secepat mungkin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin meminta Umno menyegerakan pemilihan parti itu sebelum PRU15 jika ia mahu menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Khairy, pemilihan awal akan membolehkan Umno menghadapi PRU-15 dengan barisan pemimpin yang memiliki ‘mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat’.
Sementara itu, Onn Hafiz menyarankan agar Umno tidak perlu pergi jauh untuk mengetahui kehendak rakyat.
“Tanya suami atau isteri, adik-beradik dan sahabat terdekat sama ada Presiden Umno sesuai ditawarkan sebagai calon Perdana Menteri.
“Tanyalah kepada mereka yang tiada kepentingan peribadi selain mahu melihat negara Malaysia yang penuh potensi untuk menjadi yang lebih baik dan maju.
“Saya yakin mereka yang terdekat dengan kita akan berkata jujur kerana mereka bukan sahaja sayang kepada kita tetapi mereka juga masih sayang kepada Umno,” katanya lagi.
Beliau juga meminta golongan muda dalam Umno bersuara dan bercakap benar berkenaan luahan hati akar umbi dan rakyat.
“Jangan kita menjadi orang yang zalim pada diri sendiri dengan membiarkan pisang berbuah dua kali,” ujarnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/07/nazri-gesa-singkir-zahid-ganti-tok-mat/

