Guna e-wallet syarat perbaharui lesen perniagaan

0
3

PENIAGA di pasar tani dan pasar awam di pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya bakal diwajibkan menggunakan aplikasi e-wallet sebagai antara syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata syarat yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu adalah sebagai usaha bagi memastikan pemain industri sektor peruncitan bersedia menghadapi model perniagaan baharu termasuk pendigitalan.

Katanya, pasar tani Putrajaya dipilih sebagai pelaksanaan fasa pertama Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Insiative-ReDI) dan fasa ke dua akan diperluaskan ke seluruh negara pada Mei.

“Kementerian menyasarkan 100 pasar tani dan pasar awam menggunakan kemudahan e-wallet menjelang hujung tahun ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan di Putrajaya, semalam.

Katanya, kelebihan menggunakan e-wallet itu menjadikan rekod kewangan peniaga mikro dan kecil terutama dalam kalangan pengusaha Bumiputera lebih tersusun.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDNHEP mensasarkan 12,844 peniaga di 306 pasar tani dan pasar awam seluruh negara akan menggunapakai secara meluas kemudahan e-wallet, selaras digitalisasi era baharu dalam perniagaan.

Rosol berkata, bagi memastikan sasaran itu tercapai, KPDNHEP memerlukan kerjasama strategik daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta setiap KPDNHEP negeri.

“Justeru, untuk fasa pertama ini, kementerian menerima kerjasama baik daripada KWP dan PPj kerana bersama-sama membantu peniaga untuk beralih kepada digitalisasi, dengan menjadikan penggunaan e-wallet sebagai antara syarat untuk pembaharuan lesen perniagaan di Putrajaya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here