Agong berkenan terima raket Zii Jia

0
2
bernama

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima raket digunakan pemain badminton negara, Lee Zii Jia ketika menjuarai kejohanan All England di Birmingham bulan lalu.

Raket berkenaan dipersembahkan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu di Istana Negara, di sini, hari ini.

Menurut laporan Bernama, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pingat yang dimenangi Zii Jia serta bulu tangkis pada perlawanan akhir itu, selain plak gelaran Terbuka Switzerland 2021 dimenangi beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama pasukan badminton negara ke Kejuaraan All England 2021.

Seri Paduka Baginda berdua disambut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Selain Zii Jia dan gandingan Pearly-Thinaah, turut hadir beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan satu lagi beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Zii Jia, 23, merangkul gelaran sulung All England dengan bergaya selepas mengejutkan pemain di ranking kedua dunia Axelsen dan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun pada perlawanan suku akhir. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here