JABATAN Mufti Negeri Perak (JMNP) menyarankan pengurusan sebuah surau dan madrasah di negeri itu supaya mengalihkan hiasan berbentuk capal di bahagian mihrab atau sudut bahagian imam ke suatu ruang yang lebih munasabah.
Saranan itu selepas tinjauan dan siasatan dibuat JMNP susulan tular di media sosial isu simbol capal yang menghiasi bahagian mihrab di sebuah surau dipercayai di Lenggong, Perak.
Isu itu mengundang pelbagai spekulasi serta andaian dalam kalangan orang ramai dan ia kemudian dirujuk kepada JMNP untuk menanganinya.
Bahagian Fatwa JMNP dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan awal mendapati simbol itu diletakkan di bahagian mihrab setahun yang lalu oleh pihak pengurusan madrasah dan surau berkenaan.
“Perbuatan ini diperakui oleh pihak pengurusan yang pada pandangan mereka tidak lebih hanya sekadar untuk hiasan.
“JMNP setelah meneliti dengan penuh hemat dan saksama mendapati hasrat mereka yang terlibat adalah untuk menzahirkan kecintaan kepada Baginda Nabi SAW, namun perbuatan itu menimbulkan pelbagai andaian sehingga kepada penyataan yang tidak wajar terhadap urusan agama,” menurut kenyataan yang dikongsi di Facebook JMNP hari ini.
Jabatan itu menyarankan kepada pihak pengurusan supaya peka dengan persekitaran semasa dan telahan masyarakat awam dengan menutup pintu fitnah serta menolak perkara yang boleh membawa kepada unsur pemujaan.
“Maka adalah wajar ia dialihkan ke suatu ruang yang lebih munasabah dan bersesuaian.
“Dalam masa sama Jabatan ini juga menasihatkan netizen dan orang ramai agar menjauhi perbuatan melabel sesuatu pihak dengan label yang melampau seperti kafir, fasiq dan sebagainya tanpa melakukan proses ‘tabayyun’ terlebih dahulu,” katanya. – Malaysiapost

