BERSATU Kedah mempersoalkan adakah perjuangan Umno lebih kepada agenda peribadi ataupun melihatnya kepada kepentingan agama, bangsa dan negara.
Ketua Penerangannya, Khairul Anuar Ramli, berkata sikap Umno Kubang Pasu yang ingin menamakan Datuk Seri Najib Razak sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) seolah-olah memperlihatkan bahawa parti itu tiada tokoh lain yang layak.
Beliau berkata, selain itu cadangan tersebut juga menafikan kewibawaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno dan calon Perdana Menteri.
“Umum sedia maklum Najib sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan mahkamah dan telah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi dengan kes SRC.
“Najib juga individu yang telah menyebabkan negara kita berhutang berbilion ringgit dalam skandal 1MDB sehingga negara kita dikenali sebagai negara kleptokrasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Anuar juga turut mempertikai cadangan yang telah dibuat oleh Umno Kubang Pasu sehingga sanggup mencadangkan Najib sebagai calon Perdana Menteri sekali lagi.
“Adakah Umno Kubang Pasu ada menerima apa-apa daripada Najib untuk maksud tersebut?
“Sudah pastinya cadangan ini akan diperhatikan oleh rakyat dan mereka akan menilai sejauh mana hala tuju perjuangan Umno,” katanya.
Terdahulu, Umno Kubang Pasu mahu menamakan Najib sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Ketua Umno Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar pada 4 April lalu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/01/kalau-benar-demi-rakyat-jangan-membisu-najib/

