ECRL: Selangor tidak akan tunduk

0
2

KERAJAAN Selangor bertegas tidak akan tunduk dengan permintaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memberikan tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya masih berkeras mahu menggunakan jajaran utara yang dicadangkan pada era Barisan Nasional (BN).

Exco Selangor Datuk Teng Chang Kim berkata, pengumuman dibuat Putrajaya hari ini tidak ubah seperti pembuli yang membuat keputusan sebelah pihak setelah gagal meyakinkan kerajaan negeri.

“Di bawah Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa, Kerajaan Persekutuan perlu berunding dengan jawatankuasa perancangan negeri untuk pembangunan berkenaan.

“Rundingan itu bagi memenuhi kehendak kedua-dua belah pihak dan bukannya satu pihak membuat keputusan,” katanya di  Facebook, hari ini.

Menurut Chang Khim, keputusan berubah-ubah dibuat Kementerian Pengangkutan mensia-siakan usaha kerajaan negeri yang telah menjalankan kerja awal membabitkan tanah di jajaran selatan.

Hari ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan projek ECRL akan ditambah baik dan dijajarkan semula ke laluan asal seperti yang dicadangkan pada 2016-2017, iaitu jajaran utara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, anggaran kos pembinaan projek adalah sebanyak RM50 bilion.

Terdahulu, Selangor kekal dengan pendirian projek itu dibina melalui jajaran selatan membabitkan Hulu Langat Sepang dan Pelabuhan Barat.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here