PEMUDA Umno menyeru syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing mempermudahkan proses bagi melayakkan pemandu mendapatkan perlindungan sewajarnya.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya menerima rugutan daripada ‘rider’ e-hailing yang mendakwa mereka mengalami kesulitan untuk mendapatkan perlindungan semasa bekerja seperti Perkeso dan Insurans/Takaful.
“Perlindungan ini amat penting bagi mereka kerana pekerjaan ini melibatkan risiko yang tinggi seperti kemalangan jalan raya sehingga boleh menyebabkan kematian.
“Menurut mereka, hampir setiap hari ada sahaja berita kematian penunggang motosikal yang membuat penghantaran barangan dikongsikan dalam grup media sosial di kalangan pemandu e-hailing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, pemilik syarikat e-hailingjuga didakwa tidak memberikan penerangan yang lengkap akan kepentingan skim perlindungan yang ada.
Malah, katanya, rider e-hailing juga terbeban dengan keperluan birokrasi untuk melayakkan mereka menyertai skim perlindungan yang ditawarkan.
“Semakan kami Pemuda Umno ke atas dasar perlindungan dua buah syarikat e-hailing utama iaitu Grab dan Food Panda mendapati kedua-duanya mempunyai skim perlindungan insurans harian serendah RM1/hari dan ada yang boleh memohon faedah perlindungan PERKESO.
“Mengambil kira kesan pandemik Covid-19 pada ekonomi negara serta ratusan ribu yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, rakyat terpaksa bergantung harap kepada pekerjaan gig-economy seperti pemandu e-hailing bagi menyara diri dan keluarga.
“Pun begitu, pelaksanaan PKP bagi menghadapi wabak pandemik ini juga meningkatkan penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan terus ke pengguna, sekali gus meningkatkan pendapatan syarikat penyedia e-hailing,” katanya.
Katanya, sumbangan pemandu e-hailing pada rakyat Malaysia perlu dihargai oleh semua, serta meminta urusan golongan itu dipermudahkan pihak berkaitan. – Malaysiapost

