Kerajaan perlu cakna ekonomi – DPIM

0
2

KERAJAAN digesa supaya lebih cakna terhadap ekonomi negara supaya tidak ketinggalan berbanding negara lain di rantau Asia.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Parti Ikatan Bangsa Malaysia Shahir Adnan, berkata berdasarkan realiti dan situasi semasa, kerajaan tidak boleh memilih pelaburan ketika pelabur-pelabur besar memilih negara-negara jiran.

Menurutnya, keadaan ekonomi yang terkesan teruk ini tidak boleh disalahkan kepada Covid-19 semata-mata kerana negara jiran lain seperti Singapura dan Indonesia turut diserang wabak sama.

“DPIM menyeru Kerajaan agar menarik pelabur-pelabur asing sektor digital ke negara kita, supaya keputusan yang dibuat sekarang tidak menjadikan Malaysia berada dalam posisi yang merugikan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Realitinya projek kabel internet bawah laut, pelaburan syarikat gergasi Facebook dan Google, untuk menghubungkan rantau Asean, membabitkan Indonesia dan Singapura secara terus ke Amerika Syarikat, akan merugikan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, negara akan terus ketinggalan berbanding negara jiran yang bakal menguasai ekonomi digital di rantau ini dan ‘Harimau Asia’ bukan lagi milik kita jika Indonesia pun melangkaui Malaysia.

Menurutnya, syarikat IBM, yang menjadi antara syarikat teknologi pertama melabur di Cyberjaya ketika Koridor Raya Multimedia dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an, akan menutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya pada 31 Mei.

“Ini satu lagi kerugian buat negara dan bakal terus ketinggalan dalam menguasai ekonomi digital. Pada masa yang sama, penutupan itu mungkin menyebabkan lebih 1,000 pekerja kehilangan pekerjaan.

“DPIM turut menasihatkan Menteri bertanggungjawab agar tidak meremehkan kegawatan ekonomi dengan menggesa anak-anak muda dan graduan untuk bersyukur dengan kerja gaji yang rendah, kerana adalah menjadi tugas Menteri untuk membuka peluang pekerjaan dan menarik pelaburan ke negara kita,” tegasnya.

Shahir berkata, adalah amat memalukan apabila anak muda diminta bersyukur untuk menerima gaji di bawah paras gaji minima RM1,200, walhal tiada inisiatif tuntas daripada Kerajaan untuk memperbaiki sistem ekonomi, termasuklah penguatkuasaan oleh Kerajaan.

“Sekiranya gaji minima sudah ditetapkan, bagaimana pula ada majikan yang tidak patuh kepada dasar kerajaan?,” soalnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/bab-ekonomi-tak-usah-lawan-bossku-isham-jalil/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here