Ancaman Umno terhadap PN, PKR siap sedia hadapi PRU15

0
3

PKR perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu ketika ini bila-bila masa sahaja boleh tumbang.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, gabungan parti pemerintah itu boleh tumbang susulan ancaman Umno untuk menarik sokongan terhadap PN bila-bila masa selepas darurat berakhir Ogos ini.

“Setiap hari, ada saja krisis yang mempengaruhi Perikatan Nasional, Umno boleh menarik diri (daripada kerajaan) bila-bila masa.

“Sejauh mana kerajaan stabil?” katanya seperti dilaporkan FMT, hari ini.

Fahmi berkata, walaupun perpecahan antara PPBM dan Umno adalah masalah dalaman mereka, tetapi parti lain boleh belajar daripadanya dan mengelakkan perkara sama berulang.

“Ketika mereka merampas kuasa (daripada Pakatan Harapan), mereka bercakap tentang keikhlasan, tetapi itu masalah terbesar mereka sekarang,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, PKR akan lebih menumpukan perhatian kepada kerusi dipegang Ahli Parlimennya yang melompat ke parti lain.

“Kami akan meletakkan calon boleh menang untuk memperkuat parti,” katanya.

PKR berjaya memenangi 48 kerusi Parlimen pada PRU14, tetapi kini hanya memiliki 35 kerusi selepas wakil rakyatnya berpaling tadah.

Fahmi berkata, Anwar berusaha mengukuhkan parti itu dengan mengunjungi cawangan, selain menerima kemasukan ahli baharu seperti selebriti Hans Isaac dan Afdlin Shauki.

Terdahulu, bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap di mesyuarat agung itu, diminta media untuk mengesahkan spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Permatang Pauh yang kini dipegang anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan yang memenangi kerusi itu pada PRU14 berkata, terpulang kepada parti untuk memutuskan calon yang sesuai – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here