Umno Terengganu tolak Bersatu, lawan PAS

0
2

UMNO Terengganu kekal dengan pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu meskipun PAS berpendirian sebaliknya.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pendirian itu selari dengan ketetapan yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“No way, cukup sampai di sini saja (hubungan dengan Bersatu),” katanya di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, ditanya adakah Umno Terengganu juga bersedia menentang PAS di semua kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu, Ahmad Said menjelaskan pihaknya tiada pilihan lain.

“Insyallah Terengganu dah isytihar dah, sebab saya pasti isytihar bila Exco PAS Hanafiah sebut di Kemaman, dia akan pertahankan 22 daripada 32 kerusi (DUN).

“Lepas tu Menteri Besar pula sebut di Dungun yang PAS akan pertahankan enam daripada lapan Parlimen. Dah jadi apa yang tinggal? Maknanya kita tiada pilihan. Kita lawan semua lah,” katanya.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula negeri itu pada PRU15 tanpa kehadiran PAS.

“PAS jangan rasa kuat sangat. Sejarah telah membuktikan. Kita pernah kalah dengan PAS tiga kali dan kita mampu bangkit kembali.

“PRU14 dulu calon Umno banyak tewas tipis, 18,24 ada juga 300 undi saja. Insyallah kita akan menang kembali,” katanya.

Pada PRU14 Umno menang 10 kerusi manakala PAS menang 22 kerusi DUN di Terengganu. Bagi Parlimen pula, Umno menang dua kerusi Parlimen berbanding enam dimenangi PAS. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here