POLIS Gerik menafikan berita tular berhubung dakwaan kematian seorang anggota balai polis daerah itu akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin Covid-19.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik memaklumkan, anggota terbabit dimaksukkan ke Hospital Gerik semalam akibat serangan jantung dan telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) Hospital Taiping serta berada dalam keadaan stabil.
“PDRM memberi peringatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak memuat turun/posting kejadian yang tidak dapat dipastikan kedudukan cerita sebenar.
“Menularkannya dengan berita yang tidak pasti yang boleh mengugat keharmonian, kedamaian dan mencetuskan kebimbangan kepada awam,” kata kenyataan itu menerusi Facebook.
Menurut keyataan itu, sebarang penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Terdahulu, mesej palsu itu yang disebarkan dalam bentuk laporan, mendakwa Korporal Rakmin Yusoff, 58, meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Gerik tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood berkata, maklumat itu tidak betul, sebaliknya anggota polis berkenaan, stabil di Hospital Taiping.
“Maklumat yang tular itu tak betul. Sekarang ini dia sedang berada di Hospital Taiping dan telah pun stabil,” katanya. – Malaysiapost

