Muhyiddin Yassin bukan nama sebenar?

0
2

TIMBALAN Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM), Datuk Zamil Ibrahim membangkitkan persoalan berkaitan nama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa bukan nama sebenar.

Beliau berkata, ada pihak yang mendakwa nama sebenar Muhyiddin adalah Mahadin Mad Yassin, justeru katanya perkara yang ditandatangani oleh Perdana Menteri itu sehingga hari ini dikira tidak sah.

“Hebah diperkatakan sejak dua hari ini tentang nama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan satu lagi nama yang ada di kad pengenalan Tan Sri Muhyiddin iaitu Mahadin bin Mad Yassin.

“Jadi atas sebab nama tersebut apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin tandatangan tersilap sebab menggunakan nama glamour beliau maka seorang tahanan polis dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

“Saya dapat banyak panggilan telefon tentang perkara ini sebab bagi mereka perkara berkenaan serius melibatkan istiadat, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen ketika bertanding di Pagoh.

“Namun hari ini saya cuma nak membawa satu perkara tentang isu berkaitan dengan Bersatu, saya difahamkan maklumat yang saya terima nama Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun dihantar kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menggunakan nama yang bukan di dalam IC,” katanya menerusi satu rakaman video di Facebooknya.

Sehubungan itu, dalam video berkenaan, beliau menunjukkan senarai nama yang menjawat jawatan di dalam Bersatu, dan menyatakan telah menghantar kepada ROS.

“Jadi makna kata di sini, saya mohon kerjasama daripada pihak ROS, polis, dan pengamal undang-undang teliti perkara ini sebab ini melibatkan sebuah parti yang saya percaya tidak sah.

“Sebab kalau kita meneliti keputusan Mahkamah semalam, Muhyiddin menggunakan tandatangan beliau sebagai nama Muhyiddin Yassin maka itu tidak sah atas pembebasan tahanan itu.

“Begitu juga dengan satu surat yang ingin saya bertanya kepada Muhyiddin, adakah parti Bersatu ini mempunyai dua Setiausaha Agungnya.

“Satu lagi, berkenaan dua Setiausaha Agung, bagaimana Datuk Marzuki Yunus dipecat? saya percaya masih lagi Setiausaha Agung Bersatu sebab tandatangan ini tidak sah ,” katanya.

Dalam video berkenaan, beliau turut menunjukkan surat pemberhentian Datuk Marzuki yang ditandatangani oleh Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak sah kerana bukan nama sebenar Perdana Menteri.

Justeru, beliau berkata, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini menjawat jawatan Setiausaha Agung Bersatu adalah palsu kerana pemecatan Marzuki tidak sah.

“Jadi saya mohon kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Dalam Negeri walaupun Hamzah menterinya, diminta siasat hal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here