Dr Kamarul Zaman Yusoff
WALAUPUN saya sudah cuba untuk mengelak dari memberi komentar ke atas Umno tetapi malam tadi saya terpaksa juga bercakap mengenainya disebabkan komitmen awal ke atas jemputan untuk berforum mengenai hala tuju Umno pasca Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU) anjuran O2, sebuah badan pemikir kelolaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dira Abu Zahar, bersama-sama Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi dan Exco Pemuda Umno, Muhammad Azri atau lebih dikenali Papagomo.
Antara lain, saya mengajak Umno supaya memikirkan semula hasrat untuk bertanding sendirian atas nama BN kerana sifat nostalgik dan sentimental dengan rekod dan dominasi lama tidak memberikan banyak kelebihan dalam suasana politik yang begitu cepat berubah.
Apatah lagi bila Barisan Nasional (BN) sekarang hanya mempunyai empat parti komponen yang sudah tidak lagi bersedia mendukung sepenuhnya keputusan Umno berbanding 14 parti komponen sebelum ini.
Saya juga menyebut mengenai betapa didengungkan dalam PAU 2020 lalu bahawa Umno masih kekal sebagai parti politik terbesar dengan bilangan ahli teramai di Malaysia dengan Sabah mencatatkan bilangan ahli Umno tertinggi, iaitu 583,979 ahli, diikuti oleh Johor (451,778 ahli), Selangor (421,899 ahli) dan Kedah (300,589 ahli) tetapi, tanya saya malam tadi:
(1) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 583,979 ahli di Sabah bila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerusi yang dimenangi hanya 29 daripada 60 dan bila dalam PRN kerusi yang dimenangi hanya 14 daripada 73?
(2) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 451,778 ahli di Johor bila dalam PRU14 kerusi yang dimenangi hanya 19 daripada 56?
(3) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan 421,899 ahli di Selangor bila dalam PRU14 kerusi yang dimenangi hanya 4 daripada 56?
(4) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 300,589 ahli di Kedah bila dalam PRU14 kerusi yang dimenangi hanya 3 daripada 36?
Jelaslah bahawa bilangan ahli yang ramai tidak menjanjikan apa-apa kemenangan untuk mana-mana parti politik kerana penentu kemenangan sebenar adalah para pengundi yang tidak menjadi ahli parti dan sebuah parti yang mempunyai beberapa masalah imej yang serius pastilah akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan sokongan para pengundi yang tidak menjadi ahli parti.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa UUM
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

