15 cedera bas ekspres terbalik

0
3

LIMA belas individu termasuk pemandu cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, selepas Terowong Menora, di Ipoh, awal pagi tadi.

Difahamkan, mangsa membabitkan 12 lelaki dan tiga wanita berusia antara 14 hingga 59 tahun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata panggilan kecemasan diterima jam 2.22 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh dikejarkan ke lokasi.

Katanya, bas ekspres berkenaan terbabas sendiri di bahu jalan ketika dalam perjalanan dari Kulim menghala Kuala Lumpur, tanpa pembabitan kenderaan lain.

“Bomba mengeluarkan kesemua mangsa daripada bas berkenaan termasuk menggunakan katil pengusung dan memberi rawatan awal sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, operasi menyelamat berakhir jam 4.39 pagi.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika bas sedang menuruni kawasan berbukit tidak jauh selepas keluar dari Terowong Menora. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here