BARU semalam dinobatkan sebagai pengurus terbaik bulan Mac, hari ini Thomas Tuchel menyaksikan skuad Chelsea yang dibimbingnya dibelasah di laman sendiri dalam Liga Perdana Inggeris yang bersambung selepas aksi antarabangsa.
Kekalahan memalukan 2-5 kepada pasukan bergelut, West Brom adalah yang pertama sejak Tuchel mula membimbing The Blues sejak menggantikan Frank Lampard pada penghujung Januari lalu.
Sejak tiba di Stamford Bridge, Tuchel tidak pernah tewas dalam 14 aksi yang hanya bolos dua kali dalam tempoh tersebut.
Cristian Pulisic bagaimanapun meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-27 namun hanya dua minit selepas itu mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Thiago Silva dibuang padang.
Berkelebihan seorang pemain, West Brom bangkit menjaringkan dua gol dalam masa tambahan babak pertama menerusi Matheus Pereira.
Di babak kedua, pelawat menambah tiga lagi jaringan menerusi dua gol daripada Callum Robinson serta Mbaye Diagne, manakala Mason Mount menambah satu gol untuk Chelsea. – Malaysiapost

