BERSATU tidak pernah meminta untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), namun dijemput masuk ke dalam gabuangan tersebut, kata Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata selepas menerima jemputan itu tahun lalu, Bersatu membincangkan mengenainya secara mendalam sebelum bersetuju untuk menyertainya.
“Bukan kita minta masuk. Kita dijemput masuk. Bila kita dah balas surat dan nyatakan persetujuan, tidak ada respon rasmi mengenai status selanjutnya. Saya sendiri tertanya-tanya apa status jemputan itu sekarang.
“Cuma, bila ditanya adakah Bersatu tolak MN, saya nak tegaskan bahawa kita dijemput masuk dan kita setuju.
“Selepas kita setuju, the ball is not in our court anymore. Kita tak tolak dan tak pernah tolak agenda penyatuan. Janganlah tuduh kita tolak pula,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.
Sehubungan itu, Wan Saiful berkata lantaran tiada sebarang maklum balas, Bersatu kini menumpukan tenaga dan masa untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN).
“MN itu satu ceritalah. Tapi kita sekarang tumpu PN dan perkasakan PN,” katanya. – Malaysiapost

