KENYATAAN Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang seakan memberi bayangan parti itu akan meninggalkan Muafakat Nasional (MN) disifatkan sebagai pandangan peribadi, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden Umno itu, berkata beliau mahu semua pihak bertenang dengan kenyataan berkenaan termasuk dalam isu hubungan dua parti itu dalam MN.
“Saya bukan tidak mahu memberi respon, tetapi ia bagi mengelak pelbagai persepsi yang kurang baik.
“Kenyataan itu adalah pandangan dia, tidak mengapalah. MN berjalan seperti biasa. Secara peribadi, saya ingin melihat MN terus kekal dan diperkasakan.
“Bagaimanapun, Jawatankuasa Teknikal MN akan melihat kerjasama itu dalam menuju ke hadapan, buat masa ini berilah tempoh bertenang dahulu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Berdaftar Vaksin Covid-19 di Sikamat, hari ini.
Mohamad mengulas kenyataan Abdul Hadi yang seolah-olah memberi bayangan PAS akan meninggalkan MN yang didakwa sudah menyeleweng daripada matlamat asas dan meminta semua pihak menyertai Perikatan Nasional (PN).
Presiden PAS itu turut menggesa semua kumpulan Islam menyertai pakatan baharu iaitu PN yang disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu menyelamatkan negara.
Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, dilaporkan berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan atau pendirian berhubung kenyataan Abdul Hadi.
Hashim berkata, hubungan dengan Umno seboleh-bolehnya diteruskan menerusi MN dan pihaknya akan terus cuba untuk memujuk parti itu bersama-sama dalam semangat penyatuan ummah.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan menafikan Umno pemecah kepada perpaduan Melayu.
Beliau berkata, Umno sudah berusaha menyatupadukan rakyat negara ini sejak sebelum merdeka pada 1956.
“Umno parti dah lama, pelbagai gelombang sudah kita lalui. Jangan begitu mudah kata Umno pemecah perpaduan Melayu atau perpaduan ummah.
“Agenda kita adalah perpaduan dan usaha menyatupadukan rakyat Malaysia sudah dilakukan Umno sejak sekian lama,” katanya. – Malaysiapost

