KPN sahkan rakyat Korea Utara tinggal di Malaysia peserta MM2H

0
3

SEMUA rakyat Korea Utara yang dipercayai masih berada di negara ini merupakan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, pergerakan kesemua individu berkenaan telah dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, Abdul Hamid, berkata pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan sama ada mereka boleh tinggal di negara ini atau sebaliknya.

“Kita sudah kenal pasti mereka dan saya memberi jaminan negara masih terkawal,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Pada 22 Mac lalu, kemelut diplomatik Malaysia-Korea Utara berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong ‘membongkar’ kepada isu kelemahan sistem keselamatan MM2H.

Sebelum ini, media mendedahkan Chol-myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram adalah salah seorang peserta MM2H.

Chol-myong bersama isteri dan anak perempuannya dipercayai tinggal di Malaysia sejak program MM2H dilancarkan 2000.

Semalam, laporan Daily NK mendakwa Korea Utara tidak memanggil pulang ratusan pekerja termasuk ejen rahsia Jabatan Perindustrian Pembekalan Senjata (MID) negara itu yang menjalankan penyeludupan barang mewah serta senjata di negara ini.

Laporan itu turut mendakwa, MID terbabit dengan kegiatan penyeludupan senjata dan mereka menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebagai laluan bagi menyeludup senjata Korea Utara ke Iran, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk ‘mengimport’ senjata dari negara lain ke Korea Utara.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan belum menerima laporan berhubung dakwaan mengatakan Korea Utara masih membenarkan ejen perisik mereka menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membeli senjata dan barangan mewah. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/02/siasat-dakwaan-perisik-korea-utara-jadikan-malaysia-transit-seludup-senjata-barangan-mewah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here