Tak salah untuk ahli Umno desak segerakan pemilihan parti

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Khaidhirah Abu Zahar menyifatkan tidak ada salah untuk ahli menggesa pemilihan parti diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pergerakan Puteri Umno Jasin itu, berkata ini kerana penggal kepimpinan Umno 2018 – 2021 bakal matang pada Jun ini yang sekali gus menghampiri PRU15.

“Memandangkan tarikh matang kepimpinan Umno juga pada tahun ini, maka adalah normal bagi mana-mana ahli parti menyuarakan gesaan mereka.

“Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy telah melontarkan pandangan agar Umno segera melakukan pemilihan parti sesi 2021 – 2024 sebelum PRU15 berlangsung demi menyatu padukan kembali akar umbi dan kepimpinan parti,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira berkata, desakan Khairy itu bukan secara tiba-tiba sebaliknya bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat, Tan Sri Abul Aziz juga pernah mengutarakan hal yang sama.

“Bukan sahaja mereka, tetapi juga sebahagian pemimpin di peringkat bahagian dan sayap-sayap parti juga turut senada. Sebagai MKT, saya perlu mengambil maklum tentang idea dan cadangan ini,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat adalah wajar juga pucuk pimpinan memperhalusi idea dan cadangan ini dengan penuh teliti kerana Umno sebagai parti menjunjung tinggi nilai demokrasi perlu meraikan pandangan mana-mana ahli.

“Malah, Umno juga tidak (wajar) melabelkan mana-mana pihak dengan gelaran yang tidak enak. Saya percaya kita semua berkongsi nawaitu yang sama, inginkan Umno kembali memimpin negara selepas PRU15.

“Komitmen ke arah Pemilihan Umno sesi 2021 – 2024 ini perlu turut dikongsi oleh akar umbi dari segenap bahagian, cawangan parti.

“Sekiranya MKT sahaja yang memutuskan untuk menetapkan pemilihan pada tarikh tertentu tanpa ada sambutan yang baik daripada akar umbi, saya khuatir langkah itu bukan sahaja memulakan tetapi melebarkan perpecahan dari kalangan ahli,” katanya.

Sehubungan itu, Dira berkata, akar umbi juga wajar menyatakan pendapat mereka agar parti boleh mendengar suara dan hasrat mereka sebagaimana usul yang diluluskan Perhimpunan Agung Umno 2020 ini adalah manifestasi kehendak akar umbi.

“Komitmen ke arah pemilihan parti mestilah bersifat dua hala dari pucuk pimpinan dan akar umbi kerana pemilihan ini melibatkan kita semua termasuk sayap- sayap di semua peringkat,” katanya.

Dira berkata, penangguhan yang diperuntukan dalam perlembagaan memberi ruang kepada Umno untuk mengadakan pemilihan pada masa yang sesuai.

“Saya faham akan ada pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian memerlukan masa yang lebih untuk menjalankan pemilihan tersebut.

“Kita boleh pertimbangkan untuk menangguhkan mengikut masa yang sesuai, mungkin sebulan atau tiga bulan atau beberapa bulan. Tidak lah wajib untuk parti mengadakan pemilihan hingga betul-betul lewat 18 bulan tersebut,” katanya.

Namun, beliau berkata, budaya menunda hak demokrasi kepada ahli-ahli Umno juga kurang sihat buat parti.

“Setelah matangnya sesi ini, mandat perlu dikembalikan kepada akar umbi untuk memilih kepimpinan baharu demi terus memasakkan kesatuan dalam jiwa dan roh ahli Umno agar berkekalan.

“Saya ingin tekankan bahawa Umno perlu buktikan dakwaan parti akan berpecah jika pemilihan diadakan sebelum PRU15 itu adalah tidak benar sama sekali.

“Malahan, Umno sebagai parti paling berpengalaman menjadi tauladan kepada semua parti bagaimana untuk menguruskan perbezaan pendapat dalam parti dan mengendalikan amalan demokrasi dengan matang. Kita bukan baru sekali dua menjalankan pemilihan parti!,” katanya.

Beliau berkata, Umno telah menunjukkan imejnya sebagai parti demokratik tatkala jatuhnya Pakatan Harapan dengan sendiri, parti itu telah menuntut agar mandat dikembalikan kepada rakyat.

“Namun parti akur untuk membentuk sebuah kerajaan baharu. Sehingga ke hari ini, tuntutan dan desakan untuk menamatkan darurat, membuka parlimen dan mengadakan PRU secepatnya masih terus berkumandang. Jika parti bersedia untuk menghadapi PRU, apalah sangat untuk parti mengadakan Pemilihan Umno lebih awal,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here