PAKAR pelatih bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri mengakhiri zaman bujang dengan menikahi jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada Rabu lalu.
Berita gembira itu dikongsi Dr Amalina, 34, menerusi Instagram dan Twitternya, selain menzahirkan rasa syukur majlis pernikahan dengan suami akhirnya dapat dilaksanakan selepas tiga kali tertangguh berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di United Kingdom.

“Alhamdulillah, majlis pernikahan kami selesai diadakan di Masjid Central London pada 31 Mac lalu. Meskipun tiga kali tertangguh berikutan perintah kawalan pergerakan, kami lega apabila berjaya mengadakan majlis ringkas dengan dihadiri teman rapat dan anggota keluarga. Hanya enam tetamu dibenarkan mengikut peraturan ditetapkan.
“Mengikut perancangan asal, kami ingin mengadakan majlis di Malaysia pada Mac lalu, manakala resepsi di London pula pada Jun depan. Namun, kami terpaksa menunda majlis resepsi ke satu tarikh lain bagi memastikan ramai tetamu dapat hadir.
“Kami tidak sabar meraikan hari yang cukup istimewa bersama keluarga tersayang dan rakan-rakan,” tulisnya.
Dr Amalina memuat naik sekeping fotonya bersama suami di sebuah taman dengan menggayakan kurung moden rona putih rekaan Cosry, manakala Charles yang juga seorang pengarah di sebuah syarikat perisian mengenakan sut lengkap berwarna hitam serta putih.
Sementera itu, memetik laporan New Straits Times , Dr Amalina meluahkan perasan sedih apabila ibunya, Sabariah Hassan tidak dapat hadir menyaksikan hari bahagianya kerana syarat ketat untuk ke luar negara.
Bagaimanapun, Dr Amalina berkata, dia mengambil inisiatif untuk mengabadikan kenangan indah bersama ibunya menerusi aplikasi FaceTime.
“Saya gembira upacara akad nikah dapat disaksikan ibu menerusi FaceTime. Saya dan suami berharap dapat mengadakan majlis resepsi apabila berpeluang pulang ke Malaysia,” katanya.
Dr Amalina dan suami berkenalan dalam satu majlis, tiga tahun lalu sebelum, pasangan itu memutuskan mengikat tali pertunangan pada Ogos, tahun lalu.
Pengumuman Dr Amalina itu sekali gus dibanjiri uacapan tahniah pengikut Instagramnya termasuk di kalangan selebriti tanah air yang turut gembira dengan berita berkenaan serta mendapat lebih 154,000 tanda ‘like’.
Malaysiapost juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Amalina dan didoakan semoga perkahwinan ini kekal hingga ke anak cucu. – Malaysiapost

