‘Ini masa rakyat sokong penyatuan Umno, PAS, Bersatu’

0
2

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim cukup penting untuk melihat sama ada rakyat memberi sokongan penuh kepada penyatuan tiga parti Melayu terbesar dalam Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata ia peluang bagi rakyat memberi ‘endorsement’ terhadap hubungan Umno dan PAS melalui MN, serta penyertaan Bersatu ke dalam gabungan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata walaupun tanpa manifesto, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memberi khidmat terbaik dan kini menyusun tawaran baharu untuk terus membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

“Kerajaan PN walaupun tak ada manifesto tetapi Jemaah Menteri telah diarah oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk menyusun tawaran baru bagi menbantu rakyat habis-habisan.

“Bila sampai masa satu pelan tindakan baru hala tuju baharu akan diumumkan oleh Perdana Menteri selepas selesai masalah Covid-19. Agenda besar ini tak boleh dilaksanakan kalau kita berpecah.

“Agenda bantu masyarakat Felda masih banyak, begitu juga agenda kemiskinan bandar, pemilikan rumah, petani, pegawai kerajaan dan rakyat pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam Ceramah Lima Setiausaha Agung di Slim River malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung MIC, Datuk Asojan Muniyandy.

Annuar turut mengimbau, usaha menyatukan Umno dan PAS bukan mudah, sebaliknya mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi kenyataan kerana banyak ‘luka-luka lama’.

“Nak bersatu dengan Bersatu juga bukan mudah kerana banyak ‘luka-luka baru’. Ingat tak sedih ke Datuk Seri Hamzah (Zainuddin) tiba-tiba keluar Umno.

“Tetapi selagi kami jadi Setiausaha Agung, kami akan bersama-sama cari jalan perkukuhkan (kerjasama).

“Yang penting perjuangan ini baik BN, MN dan PN hendaklah dijaga dengan baik demi kepentingan rakyat, jangan bercerai berai,” katanya.

Terdahulu, Hamzah berkata PRK DUN Slim adalah peluang untuk setiap parti dalam MN termasuk Bersatu yang sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai gabungan itu, menujukkan kesemuanya mempunyai perjuangan sama.

“Jangan ada curiga antara kita… Bersatu sudah setuju nak sertai MN. Dengan MN kita akan menentukan kejayaan bukan saja PRK ini, insya-Allah dalam mana-mana pilihan raya selepas ini,” katanya.

Beliau juga berkata semakin banyak parti kini bekerjasama dalam PN dengan jumlahnya kini mencecah 12 parti.