Vaksin AstraZeneca diluluskan secara bersyarat – Dr Noor Hisham

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Vaksin yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan itu dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kelulusan EUL bagi vaksin keluaran AstraZeneca-SK Bioscience telah diumumkan oleh WHO pada 15 Februari 2021.

Menurutnya, kelulusan pendaftaran secara bersyarat itu memerlukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau dan menilai data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin itu kekal positif.

“Syarikat pengimport yang berlesen dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan dilantik dan dipertanggungjawabkan oleh KKM untuk menguruskan pengendalian dan pengedaran vaksin Covid-19 yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX di Malaysia.

“Fasiliti COVAX merupakan sebuah platform pemudah cara dan kerjasama dalam membuat pelaburan ke atas calon-calon vaksin yang sedang dibangunkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal utama di peringkat global dan bertujuan memastikan kesamarataan akses kepada vaksin Covid-19 di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, inisiatif COVAX dikendalikan bersama Pakatan Vaksin Global (GAVI), WHO, Coalition for Epidemic and Preparedness Innovations (CEPI) dan United Nations International Children’s Emergency Fund (UNICEF).

“KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here