PEMUDA Pakatan Harapan (PH) memberi amaran akan menganjurkan himpunan Bersih 6 jika kerajaan terus menafikan pelaksanaan Undi18 untuk anak muda.
Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata gerak kerja itu terpaksa dilakukan kumpulan anak muda semata-mata mahu menuntut kerajaan mengembalikan hak mereka.
“Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disokong PAS dan Umno bertanggungjawab untuk memberikan hak yang dirampas daripada mereka.
“Jelas memberikan gambaran bahawa kerajaan hari ini sedang memperlekehkan kematangan dan kewibawaan yang dimiliki oleh anak muda. Akal budi mereka telah bonsai akibat kecanduan kuasa dan kemabukan untuk mengekalkan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazni berkata, beliau percaya ribuan rakyat Malaysia sedia kembali ke jalanraya sekiranya suara anak muda tidak didengai kerajaan.
“Lantas kita hari ini di persimpangan; mahu melawan pandemik dengan SOP #duadarjat yang terus merundung malang sebahagian besar rakyat atau berjuang semahunya membela hak demokrasi yang dirampas?
“Jawapan saya, kita harus bersatu dan gerak bersama-sama. Punca kedua-duanya ini adalah sebuah kerajaan #PNipu dan mementingkan diri.
“Maka gerakan untuk merangkul semua gerakan sivil dan pemegang taruh harus digerakkan sekarang. Jika akhirnya pilihan yang ada hanyalah ‘Bersih 6’, dengan kepatuhan SOP yang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan 18 anak muda yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Mereka yang mewakili Gerakan Undi 18 telah menuntut dua deklarasi deklarasi iaitu tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak sah serta pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021,” katanya. – Malaysiapost

