Tarantula mampu ‘menyengat’ pasaran industri pertahanan dalam dan luar negara

0
2

KERETA berperisai mobiliti tinggi 4×4 pertama negara dikenali dengan nama Tarantula HMAV4x4 dilancarkan hari ini di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kenderaan berperisai buatan dan rekaan 100 peratus anak tempatan melalui syarikat MILDEF International Technologies itu dilancarkan oleh Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, beresuaian dengan namanya, Trantula telah melalui pelbagai ujian penilaian seperti ketahanan di lebuh raya, penggunaan minyak, ujian muatan, kecekapan penggunaan takal, pemasangan dan pembukaan, ujian mendaki serta turun cerun, penggunaan brek termasuk ujian ‘fording’.

“Ujian berkenaan berlangsung selama sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700 kilometer (km) di atas jalan raya dan 300km secara off-road, termasuk beberapa ujian berhalangan lain.

“Tatacara pelaksanaan uji nilai dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) standing dengan peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran kereta berperisai terbabit hari ini.

Menurutnya, kejayaan MILDEF dalam membina kereta berperisai terbabit sangat membanggakan sekali gus membuktikan kepada pemain industri pertahanan seluruh dunia keupayaan serta kemahiran syarikat tempatan.

“Ini adalah keluaran Malaysia dan kita boleh berbangga. Saya telah menyebutkan bahawa Kementerian Pertahanan akan memberi fokus kepada industri pertahanan, supaya pakar di dalam negara terutama anak tempatan mampu mengeluarkan senjata kita sendiri supaya tidak lagi perlu bergantung semata-mata kepada negara luar dalam perkara berkaitan peralatan ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata, itu bermakna negara sedang dan akan beri lebih fokus kepada indust pertahanan.

“Saya beri jaminan sebagai galakkan kepada industri pertahanan negara membabitkan anak tempatan ini, Kementerian Pertahanan akan menjadikan produk pengeluaran Malaysia itu sebagai satu kelebihan di dalam perolehan kementerian,” katanya.

Ismail Sabri, turut berharap Trantula bukan sahaja mampu digunakan dalam negara tetapi juga dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Bercakap mengenai pemilihan nama kereta berperisai terbabit ia diambil daripada kumpulan labah-labah bertaring yang besar dan berbulu.

“Trantula mempunyai keupayaan mengubah warna dan tingkah laku mengikut persekitaran selain mampu membunuh haiwan lain yang lebih besar daripadanya.

“Malaysian Earthtiger Trantula adalah spesis yang unik dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia. Ia sangat unik dan berbahaya, sebab itu kekuatan kereta perisai ini kita samakan dengan Tarantula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MILDEF International Technologies, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa, berkata pihaknya membelanjakan RM16 juta bagi tujuan pembuatan dan kajian (R&D) kenderaan terbabit yang memakai masa selama empat tahun.

“Kami mampu menghasilkan 40 Trantula dalam tempoh setahun dan mengikut spesifikasi yang dikehendaki termasuk aksesori senjata dan sebagainya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here