‘Duit buta ajaran Cikgu Najib’ – Tun M

0
3

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terus memuat naik hantaran berbentuk sindiran yang mengaitkan perihal politik tanah air dengan ‘duit buta’ yang didakwanya sebagai ajaran Datuk Seri Najib Razak.

Malah, sejak kebelakangan ini, Ahli Parlimen Langkawi itu dilihat kerap memuat naik hantaran sinis bagi mengulas situasi semasa politik negara.

Hari ini, menerusi satu muat naik di laman blog chedet.cc. dan Facebooknya, Dr Mahathir menyifatkan berpolitik lebih untung berbanding meniaga.

“Apa lebih sedap dari dapat duit buta. Itulah ajaran Cikgu Najib.

“Tak payah kerja, cuma pangkah saja, dapat duit,” katanya.

Dalam hantaran sama, Dr Mahathir berkata, dengan lompat parti ahli politik mampu menjana lebih banyak ‘duit buta’.

“Lompat – lagi banyak duit. Rakyat pilih Kerajaan. Penyangak beli wakil pilihan rakyat. More duit buta. Belum jadi wakil rakyat tak ada harga.

“Oleh itu bertanding dalam PRU. Menang. Parti pun menang. Jadi Kerajaan. Harga wakil rakyat Kerajaan naik melambung,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata ahli politik sanggup untuk mengadai segalanya termasuk melompat parti sekiranya ganjaran lumayan ditawarkan untuk berbuat demikian

“Fikir. Dari seorang yang tak ada seduit pun ditawar lima million Ringgit jika sanggup lompat. Bodohlah kalau tak lompat. Sesungguhnya politik lebih cepat kaya dari berniaga.

“Boleh jadi sampai Perdana Menteri. Pendapatan naik, peluang rasuah – banyak duit lagi. Apa jadi pada maruah. Itu biar kepada orang lain. Biar mereka bersyarah, biar mereka mengeluh,” katanya.

Pengerusi Parti Pejuang itu berkata, apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU) wakil rakyat bertindak menjual undi, bangsa, negara dan agama.

“Datang PRU – mereka pun jual undi. Jadi wakil rakyat jual bangsa, jual negara, jual agama.

“Politik lebih untung dari berniaga. Tak payah buat apa. Duit buta datang bercurah. Sedap sungguh duit buta,” katanya mengakhiri catatan itu.

Semalam, Dr Mahathir secara sinis menyifatkan slogan ‘cash is king’ sedang membarah dalam negara.

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata, dengan ‘kuasa tunai’ kini segala perkara boleh berlaku termasuk jenayah, apatah lagi untuk mengatur rancangan melompat parti. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/01/cash-is-king-sindir-tun-m/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here