KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pihaknya melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH) mengesan kewujudan varian South African B.1.351 di Malaysia menerusi empat kes tempatan positif Covid-19.
Menurutnya, IMR telah mengenalpasti dan mengesahkan kewujudan varian South African B.1.351 di kalangan kes positif Covid-19 tempatan melalui survelan genomik (genomic surveillance).
” Strategi survelan genomik ini melibatkan sampel-sampel yang disahkan positif sepanjang Januari 2021 sehingga ke 31 Mac 2021 daripada kes-kes positif dari kluster-kluster tempatan di Selangor, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kes-kes positif dengan sejarah perjalanan ke negara lain; dan
kes-kes kematian disebabkan Covid-19.
“Untuk makluman, penemuan varian South African B.1.351 pertama kali dilaporkan di dunia pada bulan Disember 2020 di dua buah negara iaitu United Kingdom dan Afrika Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sejak awal tahun 2021, kewujudan varian tersebut telah juga turut dilaporkan oleh negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, dan Korea Selatan.
Mengulas lanjut, katanya, hasil siasatan awal mendapati keempat-empat kes positif di Malaysia berkaitan varian itu mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima seperti yang ditunjukkan dalam analisis filogenetik.
“Manakala dua kes dipercayai dari Kluster Jalan Lima yang merupakan pekerja di salah sebuah syarikat berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Walau bagaimanapun, cara penularan atau jangkitan varian B.1.351 kepada pekerja kes tersebut sukar untuk dikenal pasti dan disahkan.
“Satu kes pula adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu lagi adalah merupakan ahli keluarga kepada kes positif Covid-19 yang tinggal serumah,” katanya.
Susulan daripada penemuan pertama varian B.1.351 tersebut, beliau berkata, lebih banyak ujian jujukan genom telah dijalankan dengan menggunakan sampel positif Covid-19 dari lokasi geografi termasuk daerah Kuala Langat dan daerah Sepang.
Menurutnya, hasil dari ujian yang dijalankan menunjukkan bahawa terdapat lima kes lagi dikesan dari lokaliti ini yang telah dijangkiti dengan varian tersebut.
“Empat kes adalah daripada Kluster Kebun Baru dan satu kes adalah daripada Kluster Jalan Lima.
“Kluster-kluster yang terlibat Kluster Jalan Lima telah tamat pada 29 Mac 2021 di mana kluster ini telah melibatkan 57 kes secara keseluruhan dan 447 individu telah disaring. Kluster Kebun Baru pula masih aktif dan dijangka tamat pada 25 April 2021 (sekiranya tiada lagi pertambahan kes).
“Sehingga 31 Mac 2021, kluster ini telah melibatkan 1,111 kes secara keseluruhan (111 masih aktif dan diasingkan untuk rawatan atau isolasi) dan 1,565 individu telah disaring,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Varian B.1.351 didapati mempunyai pelbagai mutasi ‘spike protein’ termasuk L18F, D80A, D614G, D215G, A701V, K417N, E484K, N501Y and L241_A243del.
Walau bagaimanapun, jelasnya, varian ini tidak mempunyai mutasi H69_V70del seperti yang terdapat pada varian UK B.1.1.7.
“Analisa jujukan genom juga menunjukkan kebarangkalian asal-usul jangkitan daripada kes positif Covid-19 melibatkan pekerja di salah sebuah syarikat berpengkalan di KLIA berdekatan dengan kawasan Sepang diikuti penularan jangkitan ke kawasan penduduk tempatan di daerah Kuala Langat.
“Oleh itu, sehingga 31 Mac 2020, sejumlah sembilan kes positif Covid-19 telah dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 daripada jangkitan tempatan di Malaysia,” katanya. -Malaysiapost

