KEMENTERIAN Pengangkutan akan mengkaji semula undang-undang yang hanya mengenakan saman terhadap pemandu lori yang membawa lebihan muatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ketika ini hanya pemandu lori yang dikenakan saman berhubung kesalahan itu sebaliknya majikan terlepas daripada sebarang tindakan.
Ka Siong berkata, beliau mendengar keluhan seorang pemandu lori, S Arumugam di pejabatnya semalam mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai penindasan kepada mereka.
“Dalam pertemuan semalam, Arumugam memaklumkan beliau banyak saman kerana membawa lori lebih muatan yang bukan atas kehendaknya tetapi atas permintaan majikan atau syarikat pengangkutan.
“Saya terkilan apabila mendapati banyak saman dikeluarkan oleh JPJ dan polis kerana beliau ‘tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL), lesen memandu kenderaan barangan (GDL) dan lesen vokasional’.
“Saya berasa pelik. Mana mungkin En Arumugam tidak mempunyai lesen memandu? Namun akhirnya terjawab,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Ka Siong berkata, sebagai pemandu lori semua saman berkaitan lebih muatan terpaksa ditanggung sendiri Arumugam dan bukannya syarikat tempat beliau bekerja.
“Oleh kerana terlalu kerap menerima saman berkaitan membawa lebih muatan, Arumugam telah disenarai hitam oleh JPJ daripada memperbaharui lesennya.
“Sebab itulah, sejak tahun 2017 beliau tidak dapat memperbaharui lesen memandu CDL dan GDL. Namun, beliau tetap juga meneruskan kerja dan dikenakan saman lagi – bawa lori lebih muatan dan tiada lesen kerana mahu menyara hidup sekeluarga,” katanya.
Ka Siong menjelaskan Arumugam yang kematian isteri kerana kanser, terpaksa melakukannya demi menyara keluarga termasuk empat anak berusia 9 hingga 18 tahun yang masih bersekolah.
“Setelah lebih sejam perbualan sambil makan tengahari bersamanya dan meneliti permasalahan yang dihadapi En Arumugam, saya mengambil keputusan untuk membantunya berkaitan dengan saman yang dikeluarkan oleh JPJ.
“Untuk langkah ke hadapan, saya terus minta JPJ & APAD mengkaji semula tindakan saman terhadap pemandu yang membawa lebih muatan dan bukannya majikan yang dipersalahkan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan seumpama ini membawa kesan buruk kepada pemandu lori berikutan saman tidak dapat dijelaskan mereka sekali gus disenaraihitamkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ini yang menyebabkan penindasan majikan atau syarikat terhadap para pemandu lori yang ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’ seperti Arumugam,” katanya.
Ka Siong berkata, lebih menyedihkan Arumugam terpaksa meminjam RM5,000 daripada ceti haram semata-mata mahu menjelaskan kompaun/saman demi meneruskan hidup.
“Sudah tentu ini sesuatu yang amat menyedihkan. Sedangkan peranan pemandu lori ini amatlah besar serta penting kepada industri pengangkutan dan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ka Siong berkata, beliau sudah mengarahkan Bahagian Penguatkuasa JPJ untuk menyiasat dakwaan Arumugam mengenai pemandu rakyat asing dari Pakistan dan Bangladesh yang beroperasi di sebuah depoh pengagihan barangan di Sepang.
“Untuk rekod, warganegara asing boleh memiliki lesen memandu tetapi tidak dibenarkan memiliki lesen PSV & GDL, maka mereka ini sudah pasti memandu kenderaan barangan/perkhidmatan awam tanpa lesen GDL/PSV (rujuk kepada jawapan di Dewan Rakyat seperti yang dilampirkan),” katanya. – Malaysiapost

