Yang di-Pertuan Agong contoh raja rakyat sebenar

0
3

Nurul Huda Abhar

[ANALISIS] KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sentiasa terserlah dengan keperibadian baginda yang sudi menyantuni rakyat jelata tanpa rasa kekok.

Semenjak baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2019, memang diakui aura Al-Sultan Abdullah sangat menepati ciri-ciri raja berjiwa rakyat yang sering disebut-sebut sebelum ini.

Jika pembaca masih ingat awal tahun 2020, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan baginda turun dari kenderaan rasmi bagi memeriksa keadaan dan bertanya khabar mangsa kemalangan berhampiran Plaza Tol MEX di Putrajaya.

Walhal, ketika itu baginda dalam perjalanan atas urusan rasmi bagi menghadiri Majlis Menghadap Pra Kabinet.

Secara logiknya menerusi paparan video tersebut, pelayar media sosial boleh menilai apakah yang paling utama bagi baginda bukan? Mestilah rakyat.

Tidak berakhir di situ, yang terbaharu pula Al-Sultan Abdullah sekali lagi mencemar duli beramah mesra dengan penjual buah-buahan di gerai berhampiran Kem Perdana Sungai Besi.

Video yang menjadi sohor dengan tontonan 3.4 juta di laman Facebook itu mendapat pujian pelayar dan mereka menyatakan amat tersentuh dengan kesudian baginda memborong buah-buahan di gerai kecil di tepi jalan.

Agong ketika singgah di gerai Lidia

Penulis berkesempatan untuk menemu ramah Lidia, 49, peniaga gerai buah-buahan yang mengakui menggigil semasa melihat Yang di-Pertuan Agong berdiri di hadapan gerainya.

Perkongsian wanita yang berasal dari Tanjung Api, Kuantan itu memberitahu semasa Al-Sultan Abdullah memborong buah-buahan tiada sedikit pun rasa kekok baginda untuk menyentuh barangan jualan malah memegang tiang besi gerainya.

Menurut Lidia, keperibadian Yang di-Pertuan Agong saling tidak tumpah seperti Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang gemar mencemar duli melawat rakyat Pahang dan tidak kekok bergaul mesra dengan orang kampung.

Secara jujurnya, penulis sendiri bersetuju dengan kenyataan tersebut kerana sebagai anak Pahang pasti sedia maklum bahawa Raja kami memang gemar turun padang melawat rakyat.

Teringat sewaktu kecil, penulis berpeluang bertemu dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika baginda melawat Kampung Benta, di Pekan yang dinaiki air.

Almarhum Sultan Ahmad Shah semasa itu memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda (4WD) ke rumah penduduk kampung yang terjejas, termasuk rumah datuk penulis.

Kini, imej yang sama terpancar sewaktu melihat Al-Sultan Abdullah memandu sendiri kenderaan jenis Toyota Hilux bagi meredah banjir semasa mengadakan lawatan mengejut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Maran.

Baginda memandu sendiri merendah banjir melawat rakyat

Jangan lupa juga pada video baginda kelihatan santai membonceng motosikal menyantuni rakyat jelata di Kampung Binjai, Lipis bagi mengurniakan sumbangan.

Bagaimana ya perasaan adik itu apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan membonceng motorsikalnya dalam laluan kebuh getah… pasti sangat berdebar!

Sangat santai Agong kita membonceng motosikal

Lebih menguatkan aura baginda, iaitu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sopan mengenakan tudung litup dan busana longgar berjaya membuatkan rakyat bertambah sayang dengan pasangan hebat ini.

“Sebagai anok kelahiran Pahang, koi bangga ada raja yang berjiwa rakyat. Aokme marilah kita berdoa agar kesejahteraan sentiasa bersama Baginda Sultan”. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here