CUBAAN kerajaan ingin meluluskan belanjawan tambahan tanpa penelitian oleh Parlimen atas alasan darurat, dilihat sebagai tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Presiden PKR, mendakwa tindakan itu menunjukkan pengisytiharan darurat bukan hanya bagi melawan wabak Covid-19, namun apa yang terserlah ia digunakan untuk menggugat masyarakat madani, menekan kebebasan bersuara dan menjarah kantung negara.
“Tidak ada sebarang sebab untuk pemerintah bertindak sebegini kerana Belanjawan 2021 telah diluluskan kurang empat bulan lalu yang memperuntukkan dana yang cukup bagi menghadapi Covid-19.
“Sebarang dana tambahan akan diluluskan oleh Parlimen dengan majoriti jelas, dan berkemungkinan akan mendapat dukungan kedua-dua belah pihak sekiranya ia munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menegaskan pihaknya menentang langkah meluluskan belanjawan tambahan itu kerana merasakan ia tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
“Reputasi negara sangat memprihatinkan saat ini, dan ia pasti akan terus menghakis keyakinan pada ekonomi kita.
“Saya sekali lagi menggesa agar Parlimen mesti dibuka dan Ahli-ahli Parlimen wajar dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelak demokrasi negara ini terus diinjak,” katanya.
Terdahulu Malaysiapost melaporkan ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia selepas Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.
Perkara itu digariskan dalam ordinan yang dikeluarkan hari ini yang menjelaskan bagi tempoh darurat berkuatkuasa, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu negeri. – Malaysiapost

