SEORANG operator kilang yang menghalang laluan jentera bomba ketika menjalankan tugas, ditahan semalam selepas rakaman video perbuatannya itu tular di laman sosial baru-baru ini.
Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan jam 9.30 malam di Taman Munsyi Ibrahim, Johor Bahru kerana disyaki adalah pemandu Proton Wira seperti yang tular di media sosial kerana menghalang pergerakan jentera bomba.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zarin berkata suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
“Suspek berumur 33 tahun dan bekerja sebagai operator kilang. Turut dirampas kereta Proton Wira milik suspek yang digunakan seperti dalam video tular.
“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada 27 April 2019 dan tular di media sosial pada 27 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan rakaman video yang tular itu, Proton Wira terbabit menghalang jentera bomba semasa dalam keadaan kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu, Johor Bahru.
Katanya, suspek mengambil kesempatan memandu di hadapan jentera bomba dengan mengeluarkan isyarat tangan terhadap kenderaan lain untuk membuka laluan tanpa kuasa yang sah.
“Jentera bomba berada di belakang kenderaan suspek, sekali gus membahayakan dirinya sendiri serta pengguna jalan raya yang lain dengan melanggar lampu merah.
“Hasil ujian saringan urin mendapati suspek negatif sebarang dadah dan semakan juga mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah,” katanya.
Mohd Padzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun serta denda RM10,000.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Pengangkutan Jalan Raya 1987 iaitu memandu secara melulu. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun dan denda kompaun RM15,000.
“Suspek turut disiasat mengikut Rule 09(2) LN 166/59 iaitu tidak memberi laluan kenderaan bomba semasa kecemasan yang boleh dikompaun RM300, selain kesalahan Rule 17 LN 167/59 iaitu tidak patuh isyarat lampu merah yang juga boleh dikompaun RM300,” katanya.
Terdahulu rakaman video berdurasi satu minit enam saat menunjukkan perbuatan lelaki terbabit tular di media sosial dan mendapat kecaman warganet. – Malaysiapost

