VIP didakwa langgar SOP, polis buka 12 kertas siasatan

0
2
CID Director Commissioner Police Datuk Huzir Mohamed chair press conference at Bukit Aman

POLIS membuka 12 kertas siasatan berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan kenamaan atau VIP setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata tiga kes masih dalam siasatan manakala dua dikategori sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atas alasan melakukan tugas rasmi selain mengikut SOP ditetapkan.

“Selebihnya telah dikompaun dan (mereka yang terlibat) telah membayarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai hari ini, lapor Bernama.

Huzir berkata antara dakwaan pelanggaran SOP melibatkan program berbasikal yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, rentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan dan lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) ke kem tentera di Sendayan.

Turut disiasat kes Datuk Seri Najib Razak yang didakwa tidak mengimbas kod MySejahtera dan merekodkan suhu badan di sebuah restoran pada 19 Mac lepas dan kertas siasatan masih berada dengan Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang JSJ Bukit Aman.

Huzir berkata bagi program berbasikal dirasmikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa melanggar SOP, Ketua Polis Daerah Brickfields mengesahkan ia dianjurkan mengikut kebenaran dan mematuhi SOP.

“Berhubung lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke sebuah kem tentera di Sendayan, kami akan merakam (percakapan) penganjur majlis itu… itu adalah lawatan rasmi tapi kerana ada laporan, kami akan rakam (percakapan),” katanya.

Bagi kes beberapa VIP merentas negeri dari Lembah Klang untuk hadir majlis perkahwinan pada 14 Mac lepas, beliau berkata polis merakam percakapan pengurusan hotel yang menjadi lokasi majlis itu semalam selain akan merakam kenyataan pihak lain dalam waktu terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here