PREBET Adam yang pernah menggemparkan negara apabila mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 1987 dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Bekas wartawan Utusan Malaysia, Syahril A Kadir yang merupakan penulis buku berjudul Konfesi Prebet Adam yang menceritakan pengakuan Allahyarham mengenai apa yang berlaku pada Oktober 1987 itu turut berkongsi berita sedih tersebut di Facebooknya.
“Al-Fatihah saudara Adam Jaafar@Prebet Adam. Semoga rohmu dicucuri rahmat. Doaku. Mengiringimu,” tulisnya.
Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar, 60, dilaporkan meninggal dunia pada tengah hari ini di Pulau Pinang.
Allahyarham berasal dari Sungai Pinang, Georgetown juga dikhabarkan dikebumikan di Dato Keramat, Georgetown.
Kejadian amuk di Jalan Chow Kit itu menyebabkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.
Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan tersebut. -Malaysiapost

