Hubungan baik pemimpin masyarakat Cina, Istana Johor terjalin 200 tahun

0
2

HUBUNGAN baik antara pemimpin masyarakat Cina dan Istana Johor telah wujud sejak tahun 1840-an lagi, dalam bersama-sama membangunkan negeri, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. 

Baginda bertitah, mengimbas kembali sejarah, mendiang Tan Kee Soon yang dilahirkan pada 1803 merupakan Kapitan Cina pertama di Johor yang dilantik oleh Temenggong Daeng Ibrahim. 

Titah baginda, pada 1844, Temenggong Daeng Ibrahim telah menganugerahkan Surat Sungai kepada Tan Kee Soon dan mempelawa beliau untuk memimpin masyarakat Cina pada ketika itu untuk meneroka dan mengembangkan penanaman lada serta gambir di Kangkar Tebrau. 

“Menurut catatan buku “A Pictorial History of Johor Bahru” yang diterbitkan oleh Persekutuan Tiong-Hua Johor Baru – mendiang Tan Kee Soon merupakan pemimpin pertama Ngee Heng Kongsi di Johor – sebuah persatuan diiktiraf bawah naungan Almarhum Sultan Abu Bakar dan dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan keharmonian dan aturan bagi masyarakat Cina di Johor pada ketika itu. 

“Terdapat juga catatan bahawa Tan Kee Soon, sebagai ketua pertama Ngee Heng, telah menghantar bantuan kepada Almarhum Sultan Abu Bakar semasa Muar merupakan kawasan bergolak ketika itu. “

Bagi mengenang jasa Tan Kee Soon yang meninggal dunia pada 1857, Persekutuan Tiong-Hua Johor Baru bersama pertubuhan-pertubuhan masyarakat Cina lain menubuhkan satu jawatankuas kerja pada Januari tahun lalu, bagi mengkaji serta mencari tempat persemadian mendiang,” titah baginda menerusi Facebook hari ini. 

Sultan Ibrahim bertitah makam Tan Kee Soon yang ditemui di Pontian, kemudian dipindahkan ke Tiong-Hua Memorial Park, Johor Bahru. 

Hari ini, makam baharu mendiang Tan Kee Soon didirikan di Tiong-Hua Memorial Park dengan diadakan satu majlis ringkas yang dihadiri Yang Berhormat Mejar Cina’ Dato’ David Wong. 

Hadir sama, Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Presiden Persekutuan Tiong-Hua Johor Baru, Ho Sow Tong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here