DBKL serbu, tutup premis urut gay

0
2
gay

SEBUAH premis urut disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral dan urutan bagi golongan gay di Warisan City View, Cheras, diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) petang semalam. 

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) telah melaksanakan Operasi Tindakan Khas Terhadap Premis Urut (Gay) yang didapati beroperasi tanpa lesen. 

“Menerusi maklumat, siasatan dan risikan yang dijalankan, mendapati berlaku aktiviti tidak bermoral (urutan gay) di tingkat dua premis berkenaan melibatkan lapan bilik dijadikan tempat urut dan aktiviti seks sejenis. 

“Hasil semakan juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen yang sah sebagai pusat urut daripada DBKL,” menurut kenyataan itu. 

Menurutnya, serbuan terhadap premis berkenaan mendapati lima lelaki warga asing membabitkan Vietnam, Syria dan Indonesia bertindak sebagai tukang urut. 

“Dua warga Myanmar sebagai pelanggan dan seorang warga Indonesia sebagai penjaga premis ditahan dan diambil keterangan bagi proses dokumentasi oleh DBKL.

“Tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan satu notis kompaun di bawah UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian ( WPKL ) 2016 dan tindakan sita 25 pelbagai peralatan premis turut dilakukan (kondom, minyak pelincir dan lain-lain peralatan),” katanya. 

DBKL turut mengenakan tindakan menutup premis berkenaan serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang, bidang kuasa serta prosedur operasi standard (SOP) DBKL.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan warga kota diminta terus memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat kepada pihak DBKL. 

“Maklumat boleh disalurkan secara atas talian di http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here