Siasat dakwaan warga asing diberi lesen memandu kenderaan perdagangan

0
2

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyiasat dakwaan warga asing mudah diberi lesen memandu kenderaan perdagangan.

Beliau juga meminta pihak berkuasa menyemak semula dasar pemberian lesen kenderaan perdagangan seperti lori kepada warga asing demi menggelak anak tempatan sukar ‘cari makan’ kerana terpaksa bersaing.

“Saya akan meminta Ketua Pengarah JPJ dan Ketua Pengarah APAD menyiasat aduan ini dan menyemak dasar sedia ada.

“Pendirian saya jelas, ‘jangan kera di hutan disusukan tapi anak sendiri mati kelaparan,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tular rakaman video seorang pemandu lori yang sayu kerana tidak boleh memperbaharui lesennya kerana masih belum mampu menjelaskan saman.

Lebih mengecewakan lelaki itu mendakwa warga asing mula mengusai kerjaya pemandu lori dan turut mempersoalkan bagaimana lesen mudah diberikan kepada mereka.

Lelaki tersebut turut merintih dan merayu kepada pihak berkuasa terutama JPJ agar nasib pemandu lori warga tempatan dapat pembelaan sewajarnya kerana saman yang dikenakan berpunca daripada majikan.

“Saya telah menerima klip video ini dan meneliti setiap perkataan dalam rintihan yang diluahkan.

“Selaku Menteri Pengangkutan, saya sedia berjumpa dengan lelaki ini yang mendakwa dirinya sebagai pemandu lori untuk menyiasat kesahihan dakwaan sekali gus membantu beliau keluar dari masalah yang dihadapi.

“Saya memohon agar pemandu ini atau sesiapa yang mengenali beliau dapat menghubungi saya di talian 03-88921013 dan seterusnya dapat mengadakan perjumpaan secepat mungkin.

“Saya sedia mendengar keluhan beliau dan berjanji akan melakukan tindakan sewajarnya. Biar saya berjumpa sendiri dengan pemandu ini dan membuat perubahan dasar sekiranya perlu,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Malay Mail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here