Covid-19: Kenduri, rentas negeri punca kes Import B di Terengganu

0
3

MAJLIS perkahwinan dan aktiviti rentas negeri pencetus kepada kes ‘Import B’ di Terengganu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, walaupun Terengganu melaporkan empat kes hari ini, namun tiga daripadanya adalah kes Import B.

“Import B bermaksud jangkitan adalah dari negeri lain. Jika tidak dikawal cepat, boleh menular ke dalam komuniti.

“Nak jadi cerita ada tiga individu balik Kampung dari Selangor. Hadir majlis pertunangan adik di satu daerah. Saringan Covid-19 dibuat dan disahkan positif.

“Mereka tidak bergejala. Tapi kena ingat hampir 70 peratus kes positif di Terengganu tiada gejala. Setakat ini empat orang disahkan positif,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, majlis yang sepatutnya untuk bersuka-ria bertukar kepada duka kerana dijangkiti Covid-19.

“Justeru, mereka ini dimasukkan ke hospital manakala semua kontak rapat telah dikuarantinkan selama 10 hari.

“Kita bernasib baik sebab pasangan bercuti dan tak masuk kerja. Jika tidak mungkin menular tempat kerja pula.

“Kita bernasib baik juga sebab saringan dibuat cepat dan kurang pendedahan kepada ramai orang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bimbang apabila dilakukan kenduri-kendara kerana boleh mencetuskan kluster besar jika tidak dikawal.

“Kontak rapat semasa kenduri bukan terhad kepada kontak rapat keluarga sahaja. Mungkin ada tetamu terkena jangkitan kerana budaya bersalaman dan berpeluang masih ada.

“Jangan lupa kita ada tukang masak tukang hidang tukang andam dan lain-lain. Semuanya berisiko kerana ada perkumpulan ramai dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) longgar atau tiada langsung.

“Kita pesan banyak kali. Tiada siapa halang rentas negeri. Tapi lakukan rentas negeri dengan penuh tanggungjawab untuk jaga kita dan jaga orang lain.

“Bagaimana agaknya bila rentas negeri dibenarkan tak lama lagi,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here