Apa juga isu di Semenanjung takkan runtuhkan kerajaan GRS

0
1
sabah minister

APA pun pergolakan politik di Semenanjung tidak akan boleh meruntuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Demikian tegas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengulas situasi politik semasa di negeri itu susulan Umno memutuskan parti tersebut tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bung Moktar yang juga Pengerusi Umno Sabah berkata apa juga keputusan yang Umno Pusat rencanakan, ia tidak akan mengganggu gugat politik di negeri itu.

“Kita hormati keputusan mereka (Umno) di Semenanjung, mereka boleh melihat pendekatan macam mana untuk melaksana politik di sana tetapi untuk Sabah, kita akan pertahankan kerjasama melalui GRS. Itu sangat jelas,” katanya seperti dilapor portal Borneo Today.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju 2021-2025, di Kota Kinabalu semalam.

Sementara itu Bung Moktar berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi PRU15 antara Umno dan gabungan parti dalam GRS akan dibuat bila tiba masa sesuai.

Katanya, rundingan belum bermula kerana ketika ini GRS ingin memberi fokus kepada agenda pembangunan negeri itu.

“Kita akan berunding dengan GRS untuk mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah isu agihan kerusi ini.

“Kita akan bincangkan dan kemukakan cadangan (agihan kerusi) kepada pucuk pimpinan Umno Pusat,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here