UMNO perlu segera memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), gesa Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM), Datuk Zamil Ibrahim.
Zamil membuat gesaan itu ekoran keputusan yang dicapai dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berakhir pada Ahad.
“Makna kata di sini sebelum darurat saya difahamkan kuasa untuk memutuskan diserahkan kepada Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi Umno (MPT).
“Namun begitu, Saya berharap keputusan ini dapat disegerakan kerana kita tahu pihak lawan sekarang ini masih memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia.
“Makna kata mereka mempunyai kuasa-kuasa tertentu dalam pelbagai perkara, harus diingat mereka masih memegang jawatan Perdana Menteri,” katanya satu video yang disiarkan di Facebooknya.
Sehubungan itu, beliau berkata, jika Umno ingin memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia perlu dilakukan segera.
“Jangan diambil masa yang agak lama kerana akan memberi ruang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukannya untuk melakukan sesuatu perkara diluar jangkaan kita.
“Nak kata putus, putus segera! Sebab saya percaya mereka mempunyai niat atau agenda tertentu setelah mereka tahu akan kehilangan kuasa apabila kita menyatakan ingin memutuskan hubungan dengan mereka,” katanya. -Malaysiapost
