Polis pantau majlis perkahwinan di Kelantan

0
2

Pemantauan tersebut berikutan terdapat banyak majlis yang dibuat tanpa permohonan permit

POLIS Kelantan akan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan di negeri berkenaan selepas mendapati banyak kenduri yang diadakan tanpa mendapatkan permit terlebih dahulu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah, berkata penganjur majlis kenduri yang gagal memohon permit akan dikenakan kompaun minimum RM1,500 hingga RM10,000.

“Kita mengingatkan semua pihak supaya membuat permohonan dengan pihak polis terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang majlis termasuk majlis perkahwinan.

“Mulai hari ini, kita akan perketat prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini dengan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan sama ada penganjur memohon permit atau sebaliknya.

“Mereka yang dikesan gagal mematuhi SOP akan dikenakan kompaun,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau mengulas perkara tersebut pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin, berkata pihaknya mendapati banyak majlis kenduri diadakan tanpa memohon permit dengan pihak polis.

Katanya, disebabkan kecuaian dan kelalaian pihak berkenaan menyebabkan kes Covid-19 di Kelantan meningkat termasuk peningkatan kluster.

“Kita dukacita apabila kes Covid-19 di Kelantan meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu termasuk setiap hari wujud kluster baharu disebabkan kealpaan dan kelalaian orang ramai mematuhi SOP.

“Kita bimbang dengan peningkatan kluster ceritanya adalah sama pematuhan SOP serta program komuniti termasuk kenduri menyebabkan kes tersebar.

“Malah, di Pasir Puteh ada guru yang menghadiri majlis perkahwinan dan selepas itu dia ke sekolah sehinggakan kes Covid-19 merebak ke sekolah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here