Pemuda Umno tidak bercakap benar dalam PAU – Sanusi

0
1

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa seorang perwakilan Pemuda Umno tidak bercakap benar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020.

Sanusi berkata ia susulan kenyataan Mohamad Fadzil Zolkipli yang juga Ketua Pemuda Umno Kedah berhubung suasana di pejabat Menteri Besar Kedah.

Katanya, perwakilan Pemuda Umno itu telah membina persepsi bahawa Pegawai Khas Menteri Besar Kedah daripada Umno ‘kena buli’, dikutuk dan dipertikai oleh pegawai-pegawai khas lain di pejabat tersebut akibat langkah politik diambil oleh Umno, khususnya tentang i-Sinar dan KWSP.

“Selama saya ada di sini, tidak ada sesiapa pun pernah bersembang tentang politik kepartian di pejabat.

“Saya tidak pernah mendengar tentangnya. Tidak pernah sesiapapun mengutuk Umno, PAS, PPBM (Bersatu) atau mempertikai langkah-langkah politik Umno di pejabat MB.

“Nama-nama pemimpin politik pun tidak pernah disebut atau diulang sebut dalam urusan kerja di Pejabat MB,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya telah membina suasana kekeluargaan di pejabat yang ada wakil-wakil parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Pegawai Khas Menteri Besar.

“Kita tidak membina kem parti politik di sini, kita bekerja sebagai kerajaan untuk seluruh rakyat Kedah.

“Walaupun Pegawai Khas daripada PAS lebih ramai daripada Umno dan Bersatu, mereka dilayan secara profersional.

“Hubungan semasa kerja dalam satu pasukan seperti adik beradik, tidak ada kurang tidak ada lebih. Bezanya dia dengan yang lain, dia jarang ada di pejabat kerana melakukan tugasan di luar,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here