Pokok Tecoma boleh jadi tarikan baharu di Langkawi – Tun M

0
2

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut sama terpikat dengan keindahan pokok Tecoma yang menjadi tarikan kini.

Beliau berkata, pokok tersebut mengeluarkan bunga yang cukup cantik dengan pelbagai warna termasuk putih, merah jambu dan kuning.

Malah, Dr Mahathir berpendapat pokok Tecoma yang seakan-akan pohon Sakura di Jepun boleh menjadi tarikan baharu di Langkawi.

“Hari ini saya melawat sekitar Ayer Hangat, Langkawi. Sekarang ramai orang sebut tentang pokok Tecoma. Pokok ini, apabila berbunga, cukup cantik dengan pelbagai warna, putih, pink, kuning.

“Ianya seakan-akan pohon Sakura di Jepun. Langkawi tak kurang hebat. Pokok Tecoma yang ditanam di bahu jalan kini jadi satu kegilaan orang bergambar dan jadi tarikan.

“Saya pun turut sama tak lepas peluang turun ambil gambar. Jika ditanam secara tersusun dan diurus dengan elok di Langkawi, ini boleh jadi satu tarikan baru ‘musim bunga Langkawi’,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Sementara itu, beliau sempat berkunjung ke kedai ZAOMI Fresh Doughnut kepunyaan Abdul Hadi yang terletak di berhampiran dengan bulatan Ayer Hangat, Langkawi.

Katanya, kedai tersebut yang mula beroperasi pada 2014 mampu menjual sehingga 3000 biji donut sehari namun sedikit terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Dr Mahathir berkata, beliau kagum melihat mesin dan alatan terkini digunakan untuk membuat donut, berbanding perlu menggunakan tangan pada ketika dahulu.

“Saya bangga lihat orang tempatan mampu hasilkan donut yang sedap dan berkualiti. Saya dapati ia setanding dengan donut berjenama di pasaran. Di samping meniaga saya diberitahu Encik Hadi ambil pelajar praktikal dari Kolej Komuniti untuk latihan industri.

“Inilah semangat usahawan yang kita hendakkan. Saya ucap tahniah dan selamat maju jaya, semoga bertambah rezeki,” kata beliau. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/sakura-malaysia-ubah-landskap-kuala-lumpur/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here