UMNO tidak tamak, dulu masa tubuh BN (Barisan Nasional) pun, kita kongsi dengan MCA, MIC dan parti pribumi Sabah dan Sarawak, kata Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Sehubungan itu, katanya Umno terbuka berbincang dengan parti dan gabungan lain untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, tegas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, buat masa ini keputusan Umno seperti ketetapan pada Perhimpunan Agung parti itu semalam adalah tidak berunding dengan PKR, DAP dan Bersatu bagi menghadapi PRU15.
“Selepas PRU kita lihat keadaan.macam mana. Kita terbuka. Sesiapa juga yang masa itu berminat untuk bekerjasama, kalau bawa kebaikan kepada Umno dan rakyat untuk tubuhkan kerajaan yang baik, bolehlah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Prasarana berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bermula di Centralised Labour Quarters (CSL) di Puchong hari ini.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata rundingan dalam soal pembahagian kerusi dengan PAS diteruskan kerana Umno telah membuat keputusan untuk bersama parti itu.
“PAS pun tiada (minta) tinggi banyak mana pun. Mereka ada 18 kerusi, kalau mahu bertanding 30 kerusi tandinglah. Tiada masalah pun.
“Ada 222 kerusi, jadi Umno kalau dengan PAS, kita boleh bagi berapa? 20..30… boleh. Umno akan bertanding 96 kerusi. Kalau PAS kata dia mahu kahwin lagi satu, mahu ceraikan kita, tidak mengapa, kita tanding sendiri,” katanya. – Malaysiapost

