EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak maut dalam nahas melibatkan Perodua Myvi dan treler di Kilometer 5 Jalan Bentong-Raub dekat Bentong, awal pagi tadi.
Dua mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit, manakala dua kanak-kanak meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Bentong semasa menerima rawatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Marlianna Abdul Muid, 37, dan adiknya, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi nahas.
Dua mangsa yang meninggal dunia di hospital ialah Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, 9, dan Muhammad Aisy Harraz Aziz, 7.
Difahamkan, Muhammad Faizz Aryan adalah anak kepada Marlia manakala Muhammad Aisy adalah anak saudaranya dan kesemua mangsa berasal dari Banting.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata ketika kejadian Perodua Myvi dipandu Marlianna dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menuju ke Banting di Selangor.
Sebaik tiba di lokasi, katanya, kereta tersebut masuk ke laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun gagal dan bertembung dengan treler dari arah bertentangan.
“Kejadian itu menyebabkan Perodua Myvi rosak teruk manakala treler hanya mengalami kerosakan kecil,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan meminta saksi yang melihat kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.
Terdahulu Malaysiapost melaporkan tiga maut dan seorang lagi cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan treler membawa muatan kereta di Jalan Bentong-Raub berhampiran Taman Desa Damai dekat Bentong, awal pagi ini.
Bagaimanapun, mangsa terakhir iaitu Muhammad Aisy meninggal dunia ketika dalam rawatan. – Malaysiapost

