Nurul Huda Abhar
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan suntikan vaksin Covid-19 fasa kedua akan dimulakan 19 April depan, bagi golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan mempunyai penyakit kronik.
Menurutnya, makluman berkenaan temujanji bagi suntikan vaksin fasa kedua itu akan dibuat dua minggu sebelum tarikh menerima suntikan Covid-19.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, berkenaan jadual penghantaran suntikan fasa kedua itu akan diumumkan minggu depan.
“Bagi keperluan vaksin fasa kedua, minggu depan saya akan memberi taklimat kepada media berkenaan jadual penghantaran.
“Dari situ kita akan dapat gambaran yang lebih jelas berkenaan jadual penghantaran dan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi fasa dua,” katanya.
Beliau membuat kenyataan tersebut ketika sidang media Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi aplikasi Zoom yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya, hari ini. – Malaysiapost

