Nurul Huda Abhar
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melancarkan Wakaf Tunai Penyelenggaraan Masjid di Masjid Alwi, Kangar semalam.
Beliau berkata, tabung wakaf terbabit adalah inisiatif dariapada Majlis Agama Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Dr Zulkifli turut menyumbangkan RM2,000 kepada tabung wakaf tersebut.
”Insiatif Wakaf Tunai Penyelenggaraan Masjid yang diusahakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah usaha yang amat baik dan pastinya memberikan manfaat yang besar kepada umat Islam di Perlis.
“Sebagai tanda sokongan mewakili Kerajaan Persekutuan atas usaha MAIPs selaku Pihak Berkuasa Agama Negeri, saya sumbangkan RM2,000 kepada Tabung Wakaf Tunai Penyelenggaraan Masjid.
“Moga insiatif ini beroleh kejayaan,” kata beliau dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Dalam hantaran berlainan, Dr Zulkifli bersama MAIPs hari ini berkesempatan menyantuni 200 asnaf di sekitar Perlis.
Beliau berkata, bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian adalah sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan MAIPs.
“Moga ia dapat membantu meringankan beban mereka sepanjang musim pandemik ini.
“Kerjasama antara agensi agama di bawah tanggungjawab Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan Pihak Berkuasa Agama Negeri akan terus diperkukuh demi manfaat umat Islam di seluruh negara,” kata beliau. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/17/khidmat-kepada-umat-islam-ditambah-baik-menerusi-matawang-sosial-maiwp/

