SEORANG pesara tentera ditemukan lemas, manakala kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun selamat, selepas dihanyutkan ombak dalam tragedi di Pulau Kambing berdekatan Pantai Kandis di Bachok, semalam.
Mangsa lemas, Juhairohafizan Juhari, 35, dari Kampung Gong Chengal, Jelawat, ditemui pada jam 2.50 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, dari Kampung Aman, Jalan Tok Bali ditemui selamat kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian pada jam 11 malam tadi oleh nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata siasatan mendapati, pesara tentera itu dan seorang lagi lelaki yang ditemukan lemas semalam cuba membantu kanak-kanak tersebut bersama seorang lagi kanak-kanak yang sebelum ini terselamat.
“Namun, dua mangsa yang cuba menyelamatkan dua kanak-kanak itu lemas,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata kanak-kanak tersebut terselamat dan bernasib baik kerana kepalanya tidak tenggelam walaupun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Ketika dijumpai nelayan, kepala mangsa terapung dan tidak tenggelam. Nelayan tersebut terus menyelamatkannya dan mangsa sedar sejurus dibawa ke darat,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Mangsa yang lemas dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat, manakala mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut. – Malaysiapost

