TIGA maut dan seorang lagi cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan treler membawa muatan kereta di Jalan Bentong-Raub berhampiran Taman Desa Damai dekat Bentong, awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata bomba menerima panggilan pada jam 3.43 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi nahas.
Sebaik kata, katanya, bomba mendapati mangsa terdiri daripada dua wanita dan dua kanak-kanak.
“Tiga mangsa tersepit dan seorang telah dikeluarkan orang awam manakala dua mangsa lagi dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat.
“Ketiga-tiga mangsa tersepit meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Bentong,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!
Katanya lagi, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan. – Malaysiapost

