Pemuda PAS terus komited berunding demi perpaduan ummah

0
2

Nurul Huda Abhar

PEMUDA PAS akan terus komited untuk berunding demi agenda perpaduan ummah dalam kalangan anak muda yang merentasi politik kepartian serta agenda mendapatkan kuasa semata-mata.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata keputusan tersebut kekal meskipun Umno meluluskan usul tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa.

“Saya berharap agar keputusan yang telah dibuat oleh Umno dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 ini tidak akan menjejaskan Muafakat Nasional PAS dan Umno

“Serta tidaklah pula menjadi salah satu penghalang kepada agenda Perpaduan Ummah diperjuangkan PAS khususnya bersama Bersatu melalui Perikatan Nasional serta NGO dan NGI yang lain,” kata beliau menerusi hantaran di Facebooknya.

PAU 2020 yang berakhir semalam memberi mandat kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Tertinggi (MT) menentukan bila tarikh untuk mereka menarik diri daripada kerajaan PN.

Menurut Ahmad Zahid, Umno tidak berada di persimpangan dan keputusan PAU kali ini adalah jelas.

Katanya, perwakilan Umno pada mulanya hanya menyokong usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN sehingga pembubaran Parlimen, namun begitu bertukar supaya parti itu memberi ‘time line’ untuk menoktahkan hubungan tersebut.

Sementara itu, Khairil Nizam mahu Pemuda PAS meneruskan usaha memperkukuhkan penyatuan ummah.

“Kepada semua Pemuda PAS di seluruh negara, teruskan usaha murni terhadap penyatuan ummah. Ia adalah milik seluruh umat Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini!,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here